SEPANG: Skuad wushu negara boleh tersenyum lebar apabila menerima imbuhan sewajarnya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan pencapaian cemerlang mereka di Kejohanan Wushu 2025 di Brasilia, Brazil, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM480,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang meraih lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa – yang terbaik dalam sejarah penyertaan di pentas dunia.
“Hari ini kita mengalu-alukan kepulangan atlet-atlet wushu dari Kejohanan Dunia dan ini merupakan pencapaian terbaik menerusi lima emas, satu perak dan dua gangsa.
“Pasukan wushu akan menerima ganjaran RM480,000. Satu emas akan diberikan RM80,000, perak RM40,000 manakala gangsa menerima RM20,000,” kata Hannah ketika menyambut ketibaan skuad wushu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Pada kejohanan yang berlangsung sepanjang minggu lalu itu, Malaysia meraih lima pingat emas menerusi acara Jianshu dan Qiangshu lelaki (Si Shin Peng), Daoshu wanita (Lee Jia Rong), Nangun wanita (Tan Cheong Min) serta Duilian wanita (Jia Rong, Cheong Min dan Pang Pui Yee).
Sementara itu, Cheong Min turut menyumbang perak dalam acara Nandao manakala dua gangsa hadir menerusi Jia Rong (Gunshu wanita) serta trio Shin Peng, Clement Ting dan Bryan Ti (Duilian lelaki).
Pada masa sama, Hannah turut menjelaskan insentif diterima atlet wushu lebih tinggi berbanding pemain badminton adalah kerana Kejohanan Dunia sukan tempur itu berlangsung dua tahun sekali.
“Ada perbezaan (jumlah ganjaran) antara Kejohanan Dunia dianjurkan setiap tahun seperti sukan badminton dengan mana-mana Kejohanan Dunia yang berlangsung setiap dua atau empat tahun sekali,” katanya.
Hannah turut menyifatkan kejayaan diraih skuad wushu pada edisi kali ini adalah disebabkan peruntukan buat sukan itu yang semakin meningkat saban tahun.-BH Online