Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini membuat keputusan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri. 

Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina. 

Perlembagaan akan dipinda

Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri. null

Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan. 

“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada. 

Reformasi institusi yang holistik, signifikan

Justeru itu, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Jabatan Peguam Negara, dengan pembabitan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” kata kenyataan itu. 

Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada. 

Langkah ini adalah reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Keputusan bersejarah

Sementara itu Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan pengasingan dua jawatan berkenaan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, selepas pembentangan beberapa model oleh Azalina. 

“Jemaah Menteri pada hari ini juga telah membuat satu keputusan yang sangat bersejarah di mana Kerajaan telah bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara sepenuhnya. 

“Setelah memberi pertimbangan yang menyeluruh, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Pada Mac 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memisahkan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). 

Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertujuan meningkatkan kebebasan dan integriti sistem perundangan, memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh yang tidak wajar dan Peguam Negara boleh bertindak sebagai penasihat undang-undang yang tidak berat sebelah kepada kerajaan. 

Pada Januari 2024, Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta penubuhan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Teknikal bagi melaksanakan kajian empirikal tentang cadangan berkenaan.-BH Online