KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang akan melawat Malaysia bulan depan sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Presiden Russia, Vladimir Putin bagaimanapun sedang mempertimbang secara serius untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Kita bertuah. Walaupun ada isu tarif, Presiden Donald Trump telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa beliau akan datang ke Malaysia bulan depan bersempena mesyuarat ASEAN. Perdana Menteri Li Qiang juga akan turut hadir.
“Presiden Putin bertemu saya di Beijing dan berkata beliau sedang mempertimbangkan secara serius untuk datang ke Malaysia.
“Saya kata, baiklah… kita ada Donald Trump, Vladimir Putin dan Li Qiang, jadi mereka akan perasan bahawa Kuala Lumpur berada dalam kawalan penuh,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-50 Kumpulan Ambank.
Turut hadir Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Ambank Group Holdings Bhd, Tan Sri Azman Hashim.
Dalam pada itu, Anwar berkata Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Anutin Charnvirakul, memberi jaminan akan terus menaruh keyakinan kepada Malaysia untuk meneruskan peranan sebagai pengantara antara Thailand dan Kemboja.
Beliau berkata, antara lain, Anutin juga berjanji untuk menunaikan semua komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu demi mengekalkan keamanan relatif di rantau ini.
Sementara itu, Anwar amat optimis terhadap daya tahan ekonomi negara dan ketahanan domestik kerana asas ekonomi kekal kukuh, selain negara memiliki golongan profesional muda yang sangat rajin.
Katanya, ketika lawatannya ke beberapa negara termasuk Perancis, Jerman, China, India, Brazil dan Afrika Selatan, beliau melihat penekanan yang diberikan kepada potensi inovasi.
Beliau menambah, pelabur menilai tenaga kerja Malaysia sebagai lebih berdisiplin dan rajin, satu ciri yang digambarkan sebagai prasyarat untuk mengekalkan kekuatan asas ekonomi negara.-BH Online