Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kadar penerimaan penjawat awam terhadap Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) amat baik dengan 99.9 peratus yang selesai membuat pilihan, memilih untuk menerima opsyen itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata ia terbukti apabila 1,511,418 daripada 1,513,058 penjawat awam yang selesai mebuat piilhan telah memilih untuk menerima opsyen SSPA.

Ini bermakna, katanya hanya 1,640 orang penjawat awam memilih untuk tidak menerima opsyen berkenaan.

“Berdasarkan angka dan peratusan ini, ia jelas menunjukkan bahawa kadar penerimaan penjawat awam terhadap SSPA adalah amat baik, iaitu pada tahap 99.9 peratus mewakili hampir keseluruhan penjawat awam yang sedang berkhidmat,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan lisan Senator Tan Sri Prof Dr Mohamed Haniffa Abdullah mengenai sambutan dan maklum balas penjawat awam terhadap SSPA yang turut membabitkan kenaikan

pangkat secara ‘one-off’ bagi kumpulan pengurusan dan profesional gred 9,10 dan 12 di bawah skim ini.

Pemilihan opsyen di bawah SSPA dilaksanakan dalam tempoh 40 hari bermula dari 21 Oktober 2024 hingga 30 November 2024, sebelum Pekeliling Perkhidmatan SSPA Bilangan 1 Tahun 2024 mula berkuat kuasa pada 1 Disember tahun sama.

Tambah Dr Zaliha, sepanjang tempoh itu, 1,388,476 penjawat awam Persekutuan melaksanakan proses pemilihan opsyen, mewakili jumlah penyerahan borang opsyen sebanyak 99.86 peratus. 

Bagi penjawat awam negeri pula, katanya seramai 98,177 orang membuat pilihan, bersamaan dengan 74.92 peratus.

“Secara keseluruhan, sejumlah 1,513,058 orang penjawat awam atau 99.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penjawat awam telah selesai membuat pilihan opsyen SSPA dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Mengenai kenaikan pangkat secara ‘one-off’ kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional membabitkan 71 skim perkhidmatan, beliau berkata ia tertakluk kepada kekosongan jawatan.

“Urusan kenaikan pangkat ‘one-off’ ini hendaklah dibuat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan termasuk memenuhi tempoh minimum perkhidmatan yang melayakkan di gred sandangan dan perkhidmatan keseluruhan.

“Keputusan pemberian ini mengambil kira kepentingan semua skim perkhidmatan dan tempoh perkhidmatan yang munasabah berdasarkan pengalaman dan prestasi pegawai. 

“Sehingga 30 Julai lalu, pihak JPA menerima 1,119 permohonan daripada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang layak dipertimbangkan untuk urusan ini,” katanya.-BH Online