PUTRAJAYA: Kerajaan akan membuat pengumuman sewajarnya apabila sudah bersedia dengan pelaksanaan subsidi bersasar RON95, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, pelaksanaan penyasaran semula subsidi bersasar itu akan menggunakan kad pengenalan dengan sistem yang sepatutnya.
Malah, beliau menegaskan, meskipun penyasaran semula subsidi dilaksanakan kelak, rakyat terbanyak akan mendapat subsidi.
“Apabila sudah sedia, kita akan umumkan sewajarnya. Seperti yang dikatakan, penyasaran semula RON95 akan dijalankan sebelum akhir tahun ini.
“Ia akan menggunakan IC (kad pengenalan) dan guna sistem seperti yang sepatutnya. Rakyat terbanyak akan mendapat subsidi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2025 dan Property Information System Malaysia (PRISM) 2.0 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini penyasaran semula subsidi RON95.
Rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter, selaras dengan pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan.
Namun, untuk warga asing dan individu tidak layak, mereka perlu membayar mengikut harga pasaran atau harga tanpa subsidi sekali gus memastikan keadilan dalam agihan bantuan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata bahawa perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan selewat-lewatnya akhir bulan ini
Beliau berkata, apa yang pasti, seperti mana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan memberi jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan bersasar itu akan memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia termasuk penunggang motosikal, pemandu kereta dan pekerja gig.-BH Online