Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Dasar perumahan mampu milik di Kuala Lumpur bukan hanya dinilai berdasarkan bilangan unit semata-mata, sebaliknya turut menitikberatkan kualiti hidup yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pendekatan kerajaan dalam memastikan keseimbangan sosial bandar bukan sahaja melibatkan pembinaan rumah, tetapi juga pembangunan persekitaran yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas.

“Kerajaan menekankan bahawa projek rumah mampu milik perlu dibangunkan bersekali dengan kemudahan asas seperti sekolah, tadika, klinik, pengangkutan awam, ruang hijau dan gerai komuniti.

“Dengan cara ini, warga kota bukan sahaja memiliki tempat tinggal, tetapi turut menikmati persekitaran hidup yang berkualiti dan inklusif,” katanya.

Penyataan bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara di sini.

Jelas beliau, daripada sudut peranan pasaran, kerajaan juga menegaskan bahawa pemaju swasta tidak boleh hanya menumpukan pembangunan projek mewah, sebaliknya diwajibkan menyediakan komponen Rumah Mampu Milik (RMM) dalam pembangunan di kawasan strategik.

“Insentif nisbah plot yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak sebagai galakan, namun pada masa yang sama, kerajaan juga mengambil pendekatan kawalan agar rakyat tidak dipinggirkan daripada peluang tinggal di kawasan utama Kuala Lumpur,” tambahnya.

Tambahnya, daripada segi keseimbangan sosial pula, penyediaan rumah mampu milik di kawasan strategik berperanan sebagai instrumen untuk mengelakkan jurang kediaman antara kelompok berpendapatan berbeza seperti yang digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

“PTKL2040 digarap untuk memastikan pembangunan perumahan mampu milik tidak terasing, sebaliknya bersepadu dengan pembangunan komersial dan bercampur.

“Langkah ini secara langsung menyumbang kepada pembinaan komuniti bandar yang majmuk, seimbang dan harmoni,” ujar beliau.

Selaras dengan hasrat Rancangan Malaysia Ke-13 dan kerangka Malaysia MADANI, kerajaan melihat pembangunan rumah mampu milik bukan hanya sebagai projek fizikal semata-mata, malah sebagai pelaburan jangka panjang bagi kestabilan sosial Bandaraya Kuala Lumpur.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar inklusif, mampan dan berdaya saing, yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat pada masa kini dan generasi masa hadapan,” jelas Datuk Seri Dr. Zaliha.

Sebagai langkah proaktif, DBKL bersama Jabatan Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan Garis Panduan Residensi MADANI, yang memberi fokus kepada insentif pembangunan bagi memperkukuh agenda perumahan mampu milik.

Garis panduan tersebut bertujuan memastikan projek-projek perumahan memenuhi DNA MADANI; yang bukan sahaja menyediakan kediaman, tetapi membina komuniti dengan akses mudah, bersepadu dan berkualiti.-Berita RTM