Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA, 28 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba meniupkan api kebencian antara agama dan kaum di negara ini.

Datuk Seri Anwar berkata, amalan demokrasi dan kebebasan sentiasa diraikan di Malaysia, namun ia mempunyai batas tertentu, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum serta agama.

“Jika anda mencipta, menyebarkan atau menghasut kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama, kerajaan akan bertindak tegas terhadap anda. Perbuatan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mampu menghancurkan asas perpaduan negara,” tegasnya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia Kali Kedua yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai usaha diplomasi Malaysia baru-baru ini apabila berlaku ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja sehingga mencetuskan insiden tembakan.

“Sebagai sahabat baik kepada kedua-dua negara, kita segera menghubungi mereka, merayu dan membawa pemimpin terbabit ke sini untuk berbincang. Kita tegaskan bahawa Malaysia tidak berminat dengan konflik. Alhamdulillah, usaha ini berhasil dan keamanan dapat dikekalkan dengan cepat,” katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, pengalaman itu membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mengutamakan perpaduan dalam negara, tetapi juga berperanan sebagai penggerak keamanan di rantau ini.-Berita RTM