KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mahu pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) menjadi lebih cakna dan prihatin dengan persekitaran sekolah masing-masing dalam usaha membanteras kejadian buli.
Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan lebih efektif sebagai langkah mengesan elemen buli atau penderaan lebih awal di sekolah, sekali gus kes seumpama itu dapat ditangani segera.
Katanya, selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan melaksanakan strategi proaktif dalam usaha pencegahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu buli ini.
“Tindakan ini selari titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan pencegahan lebih kolektif dan proaktif susulan insiden buli sehingga menyebabkan kematian.
“Sehubungan itu, PDRM mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan usaha pencegahan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pelajar supaya tidak mengambil tindakan melampaui batas undang-undang mahupun kemanusiaan.
“PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan lebih berdedikasi dan efisien mendekati golongan terbabit secara inklusif bersama pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Cawangan Khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Ibrahim Darus.
Media sebelum ini melaporkan kes membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah yang pertama didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan membuli.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pelaksanaan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli.
Sejak pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai lalu, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.
Terdahulu, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Serentak perkembangan undang-undang itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dadalam Negeri (KDN) mahu polis bertindak pantas dalam menyiasat setiap laporan membabitkan perbuatan buli yang diterima.-BH Online