Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: JAKIM sedia menjalinkan kerjasama dengan Liga Dunia Islam (MWL) untuk menentukan piawaian bacaan al-Quran dan golongan qurra’ (golongan qari al-Quran yang diiktiraf) mengikut sanad (rantai periwayatan) yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerjasama menerusi Forum Antarabangsa Pengesahan Ijazah Al-Quran serta pengiktirafan qari ASEAN perlu diperkukuh sebagai platform yang menyeragamkan proses pengiktirafan itu.

Langkah itu juga, katanya, akan memastikan dunia terus melahirkan golongan qurra’ yang diiktiraf sekali gus menjulang wibawa mereka dalam bidang al-Quran.

“Kita (JAKIM) nak bekerjasama dengan pihak MWL. Bukan saja pengiktirafan kepada bacaan al-Quran tetapi untuk lihat sanad dia belajar al-Quran itu sampai kepada Rasulullah SAW.

“Kita lihat setiap negara ada kaedah masing-masing justeru melalui forum ini kita perlu bincangkan bagaimana kita boleh seragamkan bentuk pengiktirafan itu dan mengesahkan sama ada kaedah antara guru (al-Quran) dengan mudir itu melalui proses yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum itu di sini, hari ini. 

Turut hadir, Setiausaha Agung MWL, Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem al-Issa dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Forum anjuran MWL itu bertujuan memastikan pengesahan ijazah al-Quran mengikut tradisi sanad yang sahih serta mengiktiraf kecemerlangan para qari ASEAN dalam seni bacaan kitab suci itu. 

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Na’im berkata, dengan menganugerahkan ijazah yang diiktiraf, menjadi bukti sahih bahawa rantai sanad al-Quran yang diperturunkan adalah benar daripada guru kepada murid dan daripada generasi kepada generasi.

Beliau berkata, tanpa sistem pengiktirafan yang kukuh, dunia Islam akan berdepan risiko yang amat besar iaitu hilangnya kesinambungan tawatur, tercalar keaslian bacaan dan terpadam warisan suci.

Menurutnya, dalam dunia digital yang deras dengan penyebaran maklumat tanpa sempadan, umat Islam tidak boleh sekali-kali membiarkan bacaan al-Quran dipalsukan atau diselewengkan.

“Setiap langkah kita memperkukuh pensijilan ijazah ini bukan sekadar soal bacaan tetapi ia adalah nadi kepada transformasi al-Falah, sebuah agenda besar yang menyatukan kecemerlangan rohani dengan kemajuan masyarakat. 

“Ijazah yang diiktiraf bukan sekadar sijil, ia adalah jaminan muktamad bahawa warisan al-Quran akan terus bergema, sahih dan suci, selama-lamanya,” katanya.

Pada forum itu, lebih 30 qari daripada pelbagai negara dikurniakan pengesahan ijazah al-Quran dan 10 tokoh daripada negara ASEAN dikurniakan Anugerah Tokoh Qari termasuk Tokoh Guru Al-Quran Negara dan Penyiar Muqaddam, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari serta johan Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2014, Shaikh Ahmad Tirmizi Ali. – BERNAMA