Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama dalam pelbagai mekanisme keselamatan serta pertahanan diketuai ASEAN bagi menangani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.

Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menerusi kenyataan bersama sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Ia termasuk kerjasama melalui platform Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus. 

Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kerjasama pertahanan erat yang terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan, kursus latihan serta latihan ketenteraan bersama.

Mereka turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF) dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa menerusi penyertaan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL). 

Kedua-dua pemimpin menghargai penyertaan berterusan pegawai kanan pertahanan dalam platform utama termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadual berlangsung di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei lalu, selain pelbagai program berkaitan pertahanan lain. 

Dalam pada itu, Anwar dan Sultan Hassanal mengambil maklum kemajuan signifikan hasil Mesyuarat Dua Hala ke-4 antara Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berlangsung pada 18 hingga 21 Ogos lalu di Bandar Seri Begawan. 

“Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan perbincangan mengenai penubuhan Kumpulan Kerja Pengurusan Bencana (DMWG) di bawah Memorandum Persefahaman Kerjasama Pengurusan Bencana sebagai langkah penting memperkukuh dan menyeragamkan kerjasama dua hala,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Brunei menghargai sokongan Malaysia menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang melaksanakan misi penilaian di Bandar Seri Begawan pada 9 hingga 13 Jun lalu.

Hasil misi itu diakui kedua-dua pemimpin sebagai input penting bagi membantu Brunei membuat persiapan mendapatkan Pensijilan Luar Kumpulan Penasihat Cari dan Menyelamat Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INSARAG-IEC). 

Dalam perkembangan lain, kedua-dua negara turut mengiktiraf penubuhan Jawatankuasa Bersama di bawah MoU Kerjasama Bidang Kehakiman Syariah, termasuk perkongsian alasan penghakiman mahkamah syariah, pertukaran penerbitan, laporan akademik serta kajian bersama dalam bidang fiqh dan undang-undang Syariah. 

“Kedua-dua pemimpin menghargai kerjasama sedia ada antara institusi pendidikan Malaysia dan Brunei termasuk tawaran biasiswa, pertukaran pelajar serta pensyarah, program mobiliti akademik dan usaha memperluas kerjasama latihan teknikal serta vokasional,” katanya. 

Anwar dan Sultan Hassanal turut menggalakkan agensi berkaitan di Brunei meneliti penempatan pelajar negara itu dalam syarikat multinasional (MNC) di Malaysia, bagi memperkukuh pembangunan kemahiran, kebolehpasaran serta peluang kerjaya golongan muda.-BH Online