KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor itu, akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, esok.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata di sebalik tuntutan segelintir pihak supaya RUU itu ditangguhkan, beliau komited untuk meneruskan pembentangan itu bagi memastikan kebajikan 1.2 juta pekerja gig di negara ini terbela.
“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, sudah bertahun kita tunggu. Bagaimanapun, saya masih ada halangan kerana ada kawan-kawan kita yang mungkin salah faham atau apa agendanya dan ada juga yang minta supaya kita tangguhkan (bacaan kali kedua).
“Bolehkah kita tangguh? Saya tidak mahu tangguh, kerajaan sudah bersedia. Kita minta pihak yang salah faham atau mungkin menolak supaya jangan fikir perkara ini mengenai politik.
“Ini adalah mengenai kebajikan rakyat dan saya minta pekerja gig sekalian (menyokong). Saya tidak boleh lakukan ini tanpa anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) di pintu masuk bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Memorandum diserahkan Presiden TPAD, M Nathan, dengan kira-kira 150 ahli TPAD hadir pada perhimpunan itu bagi menyatakan sokongan pada RUU berkenaan.
RUU Pekerja Gig 2025 dibentangkan Steven untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
RUU itu dijangka mewajibkan semua penyedia platform membuat potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada setiap transaksi pendapatan seorang pekerja gig.
RUU itu juga, antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi terma dan syarat perlu dinyatakan dalam perjanjian perkhidmatan bagi maksud melindungi hak pekerja gig.
Mengulas lanjut, Sim berkata RUU Pekerja Gig 2025 amat penting bagi mewujudkan satu mekanisme yang boleh melindungi dan membela nasib pekerja gig.
Justeru, katanya walaupun pihak mana pun yang menjadi kerajaan selepas ini, kebajikan pekerja gig akan tetap terbela, berdasarkan peruntukan undang-undang.
“Tidak kira platform atau majikan, perlu mengikut undang-undang, termasuk pekerja gig. Itulah sebabnya kita memerlukan RUU ini,” katanya.
Sementara itu, melalui memoradum diserahkan kepada Si, TPAD antara lain meminta supaya harga lantai ditetapkan bagi industri e-hailing dan p-hailing.
Selain itu, mereka meminta pengagihan tugas dilakukan secara manual tanpa sebarang syarat tersembunyi, dengan garis panduan yang jelas diletakkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kajian semula ke atas Program “Grab Service Fee” (GSF) sebelum sebarang kelulusan diberikan.-BH Online