KUALA LUMPUR : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengemukakan satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus untuk melindungi pembeli premis kedai yang berdepan isu projek terbengkalai.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata undang-undang sedia ada ketika ini hanya membabitkan pembeli rumah terbengkalai.
“Kedai adalah premis komersial iaitu di luar Akta 188 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966). Kementerian sedang buat kajian supaya kita dapat kemukakan RUU baharu supaya pembeli kedai juga akan dilindungi akta,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ismail bertanyakan apa usaha KPKT dalam melindungi pemberi premis kedai yang ketika ini juga berdepan kerugian disebabkan premis yang diberi terbengkalai.
Menyentuh projek sakit pula, Kor Ming berkata bilangannya sudah menurun kepada 109 projek saja selepas 1,171 projek berjaya diselamatkan.
“Itu (menyelesaikan isu projek terbengkalai) memang satu usaha gigih yang banyak memakan masa dan langkah proaktif. Saya ucap terima kasih kepada Jabatan Perumahan Negara dan pasukannya yang cukup komited.
“Selepas pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 10 Oktober ini, KPKT akan mengumumkan beberapa lagi inisiaitif dan langkah menuju ke projek terbengkalai sifar menjelang 2030.
“Saya memang menaruh harapan tinggi sokongan daripada semua supaya kita sama-sama menjayakan misi agenda untuk kepentingan negara ini,” katanya.
Kor Ming sebelum ini berkata sehingga kini, 139,000 pembeli rumah dengan nilai pembangunan mencecah RM113 bilion yang berdepan isu terbengkalai berjaya diselamatkan.-BH Online