Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, minat pelabur-pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia berkembang jauh lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, situasi itu merupakan perkembangan positif dalam melonjakkan ekonomi negara.

“Saya optimis bahawa dengan minat pelabur-pelabur antarabangsa berkembang sekarang jauh lebih baik daripada catatan satu (atau) dua tahun yang lalu.

“Itu satu sangat positif bagi kita kerana ia akan membantu melonjakkan ekonomi tetapi lonjakkan ekonomi itu harus beralih daripada pendekatan lama,” katanya memetik Utusan Malaysia hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKaD.

Menurut Anwar, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghentikan pembaziran rasuah dalam tadbir urus dan mengamalkan pendekatan yang lebih prihatin atau manusiawi.

“Ketiganya (fokus) pada isu dan bidang-bidang yang kita agak terttinggal termasuk keselamatan makanan, soal transformasi digital dan bidang-bidang teknologi maklumat (IT) yang nampak kita belum tingkatkan sepatutnya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan dana tambahan sebanyak RM6 juta kepada program iTEKaD tahun ini sebagai usaha untuk terus memperkasa usahawan mikro berpendapatan rendah.

Tambahan itu merupakan penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023.