HULU LANGAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 bernilai RM4.2 bilion sebagai projek berskala besar yang membanggakan kerana dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat dan kepakaran tempatan.
Perdana Menteri berkata, kepakaran anak tempatan mengendalikan projek mega yang menggunakan teknologi tinggi membuktikan keupayaan Malaysia dalam bidang pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti skala besar.
“Projek LRA Langat 2 boleh kita letak sebagai satu projek besar berteknologi canggih yang dikenadlikan anak Malaysia sendiri. Projek ini memerlukan bukan saja keterampilan tapi pengurusan yang cekap dan bertanggungjawab.
“Tidak mungkin projek ini dapat dijayakan melainkan ada golongan profesional yang terlatih dan kita sudah buktikan ini permulaan yang sangat membanggakan.
“Saya hadir hari ini untuk memberi sokongan dan pengharagaan kerana kita tahu ini projek raksasa yang menuntut usaha kerja bersungguh-sumgguh dan teknologi canggih,” katanya.
LRA Langat 2 dibina bagi menampung permintaan tinggi bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan pertambahan jumlah penduduk dan pembangunan industri yang pesat.
Ia memiliki kapasiti 1,130 juta liter sehari (JLH) membabitkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau menerusi Muka Sauk Sungai Semantan di Pahang ke LRA Langat 2 di Daerah Hulu Langat.
Pemindahan air mentah berkenaan disalurkan melalui terowong bergaris pusat 5.2 meter dan 44.6 kilometer panjang merentasi Banjaran Titiwangsa.
Jajaran paip penyaluran air terawat menghubungkan dua koridor utama iaitu Koridor Utara sehingga ke kawasan Ampang dan AU3 Keramat serta Koridor Barat merentasi Hulu Langat, Cheras dan Sungai Besi sehingga ke Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara dan Bukit Dengkil.
Terdahulu, dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata negara kini menuju fasa kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk membangunkan sektor dan industri air menerusi teknologi serta kepakaran tempatan, setanding piawaian antarabangsa.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek LRA Langat 2 yang dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) adalah antara manifestasi membuktikan kemampuan tempatan untuk membina infrastruktur air berskala besar.
“LRA Langat 2 dilengkapi teknologi rawatan air moden, sekali gus menjadi penanda aras fasiliti setanding piawaian antarabangsa,” katanya.
Tegas Fadillah, pembinaan infrastruktur bekalan air ini yang menggunakan teknologi moden seperti itu seharusnya membabitkan kos tinggi.
“Dalam projek ini, PAAB berperanan sebagai pembiaya dan pelaksana projek yang membolehkan pembinaannya dilaksanakan dengan kos lebih optimum berbanding melalui pembiayaan komersial.
“Di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, PAAB adalah agensi yang menguruskan pembiayaan infrastruktur bekalan air bagi negeri yang sudah memasuki Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air.
“Antara matlamat utama model pembiayaan menerusi penstrukturan semula ini ialah bagi memastikan operator air boleh memberi fokus sepenuhnya kepada operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air bagi memastikan kecekapan pengurusan.
“Ia juga akan membantu memastikan kedudukan kewangan operator air lebih berdaya tahan dan stabil,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menerusi Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040), Fadillah berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan pembiayaan alternatif bagi meningkatkan kemampanan kewangan sektor air, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada dana kerajaan.
Katanya, kepentingan pengurusan air pada masa kini tidak boleh dinafikan, terutama dengan kesan perubahan iklim termasuk fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir.
“Pengurusan air tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal atau utiliti semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan teras utama dalam agenda pembangunan negara dan strategi adaptasi perubahan iklim.
“Perancangan sumber dan bekalan air secara strategik dan mampan penting bagi memastikan keperluan bekalan air generasi kini dan akan datang termasuk bagi pembangunan negara, dapat dipenuhi,” katanya.
Fadillah berkata, kadar dan kos bagi penukaran paip lama ketika ini lebih menjimatkan untuk mengurangkan 40 peratus Program Air Tidak Terhasil (NRW) berbanding membina LRA baru yang membabitkan kos tinggi.
Justeru, katanya, fokus dan keutamaan diberi kementerian dan agensi di bawahnya ketika ini ialah meningkatkan kapasiti kerja bagi membaik pulih paip lama dan usang.-BH Online