PASIR SALAK: FELCRA Bhd (FELCRA) mengkomersialkan Padi FELCRA MRQ 107, iaitu varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perkembangan itu sebagai sejarah penting buat agensi pembangunan sektor luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu.
“FELCRA hari ini melakar sejarah penting melalui pengkomersialan Padi FELCRA MRQ 107 iaitu varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import.
“Dengan aroma wangi semula jadi, tekstur nasi yang lembut dan enak serta hasil tuaian yang sederhana, tetapi stabil dan sesuai dijadikan beras rebus, ia diyakini memenuhi selera rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-projek Peserta FELCRA di Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn Bhd Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, daya usaha itu juga memperkukuh keterjaminan makanan negara, antaranya dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras import, selain membuka pasaran baharu.
Susulan itu, Ahmad Zahid mahu FELCRA meningkatkan pengeluaran varieti padi wangi tempatan itu yang ketika ini pada paras 3,000 tan kepada 6,000 tan selepas ini.
“Janganlah usaha ini hanya sekadar meletakkan jenama di atas beg, tetapi perlu menjadi setanding dengan jenama-jenama lain,” katanya.-BH Online