KUALA LUMPUR: Pelaburan strategik oleh YCH Fusionaris Sdn Bhd membuktikan potensi pelaburan kini direalisasikan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, pelaburan bernilai RM500 juta di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor oleh syarikat logistik terkemuka itu bermula daripada potensi yang dikenal pasti semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Singapura.
“Pelaburan ini bukan sahaja akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan serantau malah juga akan membuka 100 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata, YCH Fusionaris juga sedang giat membina kerjasama dengan rakan kongsi logistik tempatan, sekali gus memperkasakan ekosistem perniagaan tempatan negara.
“Inilah bukti nyata bahawa setiap inisiatif Kerajaan MADANI adalah langkah permulaan yang membawa kepada pelaburan berimpak tinggi, demi kemajuan ekonomi dan teknologi negara kita. Daripada potensi, kita jadikan realiti,” katanya.-BERNAMA