GOMBAK: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 78,424 notis di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi tempoh 1 Oktober 2024 hingga 30 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata daripada jumlah itu, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah merokok di kawasan larangan iaitu sebanyak 73,438 notis.
“KKM turut mengeluarkan 2,619 notis terhadap orang belum dewasa yang merokok, 2,340 notis membabitkan kehendak tuan bangunan atau penghuni serta 27 notis kepada orang belum dewasa yang membeli produk merokok.
“Jumlah nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan mencecah RM19,076,800,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Roczen Universal di Batu Caves, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, daripada jumlah itu, RM18,359,500 adalah bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, RM585,000 membabitkan kehendak tuan bangunan atau penghuni, RM130,950 untuk kesalahan orang belum dewasa merokok, manakala RM1,350 bagi kesalahan orang belum dewasa membeli.
“Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi premis yang diperiksa di bawah Seksyen 10; Peraturan 6 (Peraturan Kawalan Penjualan) antara 1 April hingga 30 Jun lalu, iaitu sebanyak 15,160 premis kedai makan.
“Sabah berada di tempat kedua dengan 9,993 premis diperiksa, manakala Johor di kedudukan ketiga dengan 8,096 premis,” katanya.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu berkenaan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
Katanya, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat.-BH Online