Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 712 usahawan dalam kalangan asnaf dapat meningkatkan pendapatan mereka melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN). 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hingga kini, jumlah keseluruhan jualan bagi program itu telah mencecah RM20.46 juta dan sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah ditempatkan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 58 peratus peserta mencatat prestasi cemerlang dengan rekod jualan melebihi RM2,000 sebulan. 

“Melihat kepada keberkesanan pelaksanaan program ini dan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, kita perlu terus mempelbagaikan lagi peluang untuk rakyat menjana pendapatan, khususnya kumpulan sasaran.

“Sebab itu, Kementerian Ekonomi telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Agama bagi melaksanakan kerjasama ini di peringkat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini. 

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. 

Menerusi kerjasama berkenaan, Kementerian Ekonomi akan menyediakan mesin layan diri (vending machine) makanan dan subsidi sewa penuh selama dua tahun, manakala MAIWP menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak. 

Menurut Akmal, kementeriannya juga akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi melanjutkan tempoh inisiatif berkenaan untuk dua tahun lagi. 

“Langkah itu supaya manfaat IPR dapat diteruskan kepada lebih ramai rakyat dalam kategori B40 terutama di kawasan perbandaran dapat dibantu meningkatkan pendapatan dan mempertahankan maruah kehidupan keluarga mereka,” katanya. 

Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin mencabar, kerajaan perlu meneruskan usaha membantu golongan memerlukan untuk terus menjana pendapatan tambahan, di samping mengawal pengeluaran kos berlebihan. 

Kos ditanggung kerajaan membabitkan penyediaan mesin dan sewaan sahaja. 

“Apa yang penting, bantuan ini tidak ‘hangus’ sebaliknya dijana semula sebagai pendapatan kepada peserta. Masyarakat pada masa sama turut mendapat manfaat melalui penjualan makanan pada harga berpatutan, iaitu kurang daripada RM5. 

“Daripada segi pulangan, jumlah jualan RM20.46 juta menunjukkan nilai pulangan yang baik berbanding kos yang ditanggung,” katanya.-BH Online