Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kebijaksanaan pemimpin Malaysia telah menyebabkan negara kita stabil selepas pilihan raya umum ke 15 dengan bersegera membentuk kerajaan, iaitu selepas beberapa hari sahaja selesai pilihan raya.

Berbanding dengan Thailand, walaupun sudah tiga bulan berlalu, negara itu masih belum berjaya membentuk kerajaan yang menyebabkan pelbagai masalah timbul termasuk kemerosotan ekonomi.

Menurut Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (gambar bawah), anak muda dari parti Move Forward Party yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihanraya Thailand pertengahan bulan Mei yang lalu sudah hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri.

Move Forward Party dijangka akan menjadi pembangkang walaupun mendapat undi terbesar dengan kerusi terbesar dalam pilihan raya umum Mei lalu.

“Walaupun menang jumlah kerusi yang terbesar, mereka tidak boleh mengubah apa-apa selain dari menawarkan “check and balance” yang terbaik, itu sahaja,” tulis beliau menerusi facebook.

Sehingga sekarang, Thailand belum ada kerajaan selepas lebih dari tiga bulan menjalankan pilihanraya.

Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Taksin Shinawatra, sudah boleh menerima parti yang berkait dengan tentera di dalam gabungan kerajaan.

Mereka sudah meminta maaf dengan pengundi kerana berjanji di dalam pilihanraya tidak akan menerima parti tentera di dalam kerajaan.

Ekoran kegagalan menubuhkan kerajaan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand di suku kedua 2023 hanya 1.8%, di luar jangkaan ahli-ahli ekonomi, kata bekas CEO Tabung Haji itu.

Walaupun industri pelancongan berkembang, pengurangan ekspot terutamanya disebabkan ekonomi China yang tidak berkembang seperti yang dijangkakan telah memperlahankan perkembangan ekonomi.

“Unjuran perkembangan ekonomi Thailand dikurangkan kepada julat 2.5% – 3.0% berbanding dengan 2.7% – 3.7% sebelum ini.

“Saya tak tahu netizen kita nak ulas atau tidak perkembangan atau ketiadaan perkembangan di atas macam mereka buat ke atas apa yang ada di negara kita,” tanya beliau sinis dengan apa yang berlaku di negara ini.