Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkasa pembelajaran di institusi pondok kerana ia terbukti melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah dalam aspek kerohanian.

Perkara itu diterjemahkan hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tenaga pengajar pada perasmian Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025, semalam.

Perdana Menteri dalam hantaran laman `X’ turut menyatakan, sebelum ini, pondok adalah kubu pertahanan ilmu dan akidah, namun persiapan harus dibuat bagi membangunkan institusi pondok sebagai benteng melawan pengaruh yang merosakkan anak-anak.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap pemerkasaan institusi pondok dan berharap modul pembelajarannya akan menjadi contoh kepada sekolah pondok yang lain.

Ujar beliau, kecemerlangan pelajar pondok semakin diyakini apabila Pondok Moden Al-`Abaqirah berjaya menduduki tempat kedua dalam keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Saya berharap modul yang terpakai di Pondok Moden Al-‘Abaqirah akan menjadi ikutan oleh sekolah pondok yang lain,” ujarnya kepada wakil media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Na’im merasmikan Majlis Hafl Al-Takharruj (Konvokesyen) Kali Ke-4 2025 Pondok Moden Al-`Abaqirah anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, hari ini.

Seramai 46 graduan Pondok Moden Al-`Abaqirah yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan korikulum diraikan pada majlis tersebut.

Mohd. Na’im selanjutnya menyatakan, institusi pondok berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi, malah berilmu.

Dalam ucapannya, beliau berkata, Pondok Moden Al-‘Abaqirah merupakan institusi yang diberi mandat untuk memperkukuh pendidikan berteraskan turath Islam, disepadukan dengan keperluan semasa melalui pendekatan dwikurikulum.

Mohd. Na’im turut menyempurnakan pelancaran Modul Turath MAIWP iaitu warisan ilmu klasik dengan pendekatan moden merangkumi disiplin utama iaitu Fikh, Tasawuf, Hadis dan Bahasa Arab.

Ujar beliau, modul itu bukan sekadar menghafaz matan,
tetapi menekankan kefahaman teks melalui pendekatan
infografik, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dan penilaian bersepadu. – MalaysiaGazette