Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru semua Menteri Besar serta Ketua Menteri untuk menyediakan dana pembangunan belia dan sukan yang mencukupi bagi tahun hadapan.

Hannah berkata, langkah itu penting dalam membantu Exco-exco dalam portfolio berkenaan untuk melaksanakan lebih banyak program pembangunan membabitkan bidang kuasa terbabit.

“Saya nak menyeru semua Menteri Besar (dan Ketua Menteri) bagi minggu-minggu yang akan datang dalam persiapan membentangkan bajet (belanjawan negeri) tahun depan untuk memperuntukkan dana yang mencukupi bagi membantu Exco belia dan sukan negeri masing-masing.

“Portfolio ini bukan kecil, tetapi (portfolio ini) menjaga aset masa depan (negara) dan (menggalakkan) gaya hidup yang sihat. Kalau mereka dapat bajet yang mencukupi, mereka boleh melaksanakan banyak lagi program pembangunan, tetapi selalunya tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) di sini hari ini. 

Selain itu, Hannah turut mempengerusikan Mesyuarat Menteri dan Exco mengenai Pembangunan Belia dan Sukan Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini yang turut dihadiri Exco pembangunan belia dan sukan negeri.-BH Online