KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan langkah menurunkan defisit fiskal secara berfasa dalam usaha memastikan jumlah hutang negara semakin berkurang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, dalam ekonomi makro kadar hutang akan bertambah jika defisit fiskal kekal tinggi, justeru ia perlu diturunkan secara berperingkat.
Pelaksanaan langkah itu sehingga kini menyaksikan kadar hutang baharu negara menurun setiap tahun, iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024.
“Pada 2022, defisit adalah 5.5 peratus sehingga diturunkan kepada 4.1 peratus pada 2024 kerana sasaran kita adalah menurunkan defisit secara berfasa.
“Langkah ini dilaksanakan secara berfasa kerana jika dilakukan secara mendadak, peruntukan tambahan untuk pendidikan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kesihatan itu akan terbantut.
“Jadi, defisit harus dikurangkan tapi jika terus belanja boros, maka hutang akan mencecah terlalu tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai sama ada Kerajaan MADANI menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab berikutan hutang naik daripada RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 bilion pada hujung 2024, yang hampir mencecah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata berikutan dasar fiskal bertanggungjawab dilaksanakan kerajaan, keyakinan pelabur sama ada domestik atau asing terus meningkat.
“Jika kita membuat pengumuman, kita jalankan dasar ekonomi bertanggungjawab tapi defisit terus membengkak, dianggap tidak bertanggungjawab.
“Sebab itu defisit mesti dikurangkan dan ini tentunya beban, maknanya kerajaan yang tegas dan berani saja boleh buat. Jika nak popular, hutang terus dan dibayar oleh generasi kemudian,” katanya.
Berhubung peningkatan hutang negara dari RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 pada 2024, Perdana Menteri menjelaskan, ia adalah perbelanjaan pembangunan, bukan mengurus.
“Kita tidak hutang untuk belanja mengurus. Kita hutang walaupun berkurang jumlah hutang itu untuk belanja pembangunan kerana kedudukan sekolah, hospital, luar bandar dan tebatan banjir, seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.-BH Online