Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sedang merangka Dasar Perlindungan Sosial atau ‘NSPP Framework’ yang menyediakan sistem perlindungan sosial inklusif merangkumi pekerja sektor formal, tidak formal, orang kurang upaya (OKU), pekerja gig dan warga emas. 

Ia mencerminkan komitmen kerajaan membina sistem perlindungan sosial yang holistik dan berdaya tahan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata kerangka itu menjadi landasan penting dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang kitaran hayat mereka, mengambil kira cabaran struktur pasaran buruh, isu penuaan penduduk dan kekurangan tenaga kerja mahir. 

“Kerangka ini menekankan sistem perlindungan sosial yang inklusif dan responsif terhadap risiko berteraskan prinsip keterangkuman, kesejagatan dan pendekatan kitaran hayat bagi melindungi golongan rentan di setiap peringkat kehidupan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) yang ingin tahu adakah KESUMA bercadang memperkenalkan satu rangka kerja perlindungan sosial komprehensif nasional yang merangkumi pekerja sektor formal, tidak formal, OKU, gig dan warga emas. 

Mengulas lanjut, Sim berkata, kementeriannya menyokong penuh usaha terbabit. 

KESUMA turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar serta inisiatif perlindungan sosial sedia ada khususnya bagi bidang pekerjaan keselamatan sosial dan pembangunan modal insan merangkumi pekerja dalam pelbagai sektor.-BH Online