KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka lebih banyak kemudahan prasekolah di seluruh negara sejajar komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah mewajibkan pendidikan prasekolah seawal usia lima tahun bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
“Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah bawah KPM akan dibuka di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata menerusi RMK13, KPM akan memberi tumpuan penuh kepada pendidikan prasekolah hingga menengah.
Ia bagi memastikan sistem pendidikan serta kawal selia yang lebih berfokus dan berkesan.
“Tumpuan Kerajaan MADANI ketika ini adalah memastikan kadar enrolmen murid peringkat prasekolah dan menengah mencapai enrolmen sejagat.
“Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPM menerima sebanyak RM67 bilion untuk sektor pendidikan, pembinaan sekolah baharu dan memperbaiki serta menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.
Inisiatif pembinaan sekolah yang dijadikan sebahagian syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu serta peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi.
Fadhlina berkata, penekanan khusus diberi kepada usaha bersepadu bagi memperkasa penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
“RMK13 adalah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya.-BH Online