KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak hubungan Malaysia-Australia.
Malah, Perdana Menteri menjangkakan memorandum persefahaman (MoU) baharu akan dimeterai berkait sektor pendidikan antara Malaysia dan Australia pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan yang akan berlangsung Oktober ini.
Beliau berkata ia meliputi bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri melalui satu maut naik di Facebook susulan kunjungan hormat Menteri Luar Australia, Penny Wong yang kini dalam rangka lawatan ke Malaysia.
“Kami menyambung semula perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
“Saya menyambut baik minat pelabur Australia dalam bidang pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
“Australia juga dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) September ini, selaras potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan melalui dana latihan dan penyelidikan berjumlah AUD500,000.
“Saya menantikan lawatan Perdana Menteri Anthony Albanese ke Malaysia Oktober ini bagi membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi rantau Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur,” katanya.
Semalam Penny melalui ucapan pada Forum Australia bersama ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 memaklumkan Australia komited memastikan pasaran negaranya terus terbuka kepada ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperdalam kerjasama ekonomi dan strategik serantau.
Beliau berkata kerjasama pihaknya dan ASEAN sentiasa berteraskan manfaat dan tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran serta keterbukaan serantau.
ASEAN kekal rakan dagang kedua terbesar Australia, dengan jumlah dagangan antara ASEAN dan Australia pada 2019 mencecah AUD122.2 bilion.-BH Online