KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia melihat potensi besar dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan Itali, khususnya dalam bidang pertahanan, keselamatan makanan dan pelaburan.
Perkara itu dimaklumkan tiga menteri kanan negara dalam satu sidang media di Itali.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, Itali mencadangkan perolehan pertahanan menerusi perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi menjamin harga dan penyelenggaraan aset yang lebih efisien.
Itali turut menawarkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber, teknologi bawah laut dan logistik untuk menyokong kehadiran aset mereka di rantau Asia Pasifik.
“Kita turut timbang perkongsian teknologi mereka dalam bidang AI dan pengawasan infrastruktur bawah laut,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan isu keselamatan makanan global yang dibangkitkan dalam persidangan di Itali, terutamanya melibatkan ketidaktentuan cuaca dan konflik geopolitik seperti di Gaza.
Beliau menegaskan bahawa makanan tidak seharusnya dijadikan senjata dalam konflik dan menggesa peranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) diperkukuh dengan integriti.
Kerjasama rentas politik dalam isu keselamatan makanan kini amat penting bagi menghadapi cabaran global.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa 41 syarikat Itali menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia dengan nilai pelaburan berpotensi RM8.13 bilion.
Pelaburan tersebut melibatkan sektor kimia, peralatan elektrik dan elektronik serta minyak dan gas.
“Kita turut menjana potensi eksport bernilai RM425 juta termasuk produk oleokimia, biofuel dan tenaga boleh baharu,” katanya.
Lawatan rasmi ini menjadi landasan penting bagi memperkukuh hubungan dua hala yang lebih menyeluruh antara Malaysia dan Itali.-Berita RTM