Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SINGAPURA: Kajian pasaran akhir bagi penentuan kadar tambang atau harga tiket Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) sedang giat dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia susulan RTS Link kini berada dalam tempoh 18 bulan terakhir sebelum ia siap dan beroperasi pada 1 Januari 2027.

Katanya, Malaysia berharap mekanisme harga yang ditetapkan nanti akan dapat menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan RTS Link untuk berulang-alik antara kedua negara.

“Dari segi penetapan harga, RTS Operations Sdn Bhd (RTSO), yang juga syarikat usaha sama antara Malaysia dan Singapura bagi sistem RTS Link akan secara bersama-sama menentukan mekanisme kadar tambang yang sesuai.

“RTSO kini sedang melakukan kajian pasaran akhir untuk menentukan kadar harga yang wajar dan munasabah.

“Sudah tentu, Malaysia dan Singapura juga berharap mekanisme harga yang ditetapkan nanti akan dapat menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan ini, selaras dengan matlamat utama projek ini untuk meningkatkan kecekapan dan memastikan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam merentasi Tambak Johor. 

“Jadi, itu adalah antara pertimbangan penting dalam menetapkan mekanisme tambang RTS Link,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow.

RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen – satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.

Dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan beroperasi awal 2027, RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit, dengan kekerapan setiap tren adalah 3.6 minit.

Setiap set tren membabitkan mengandungi empat gerabak sepanjang 76 meter, yang berlatar warna putih selain gabungan warna bendera Malaysia, Johor dan Singapura, dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala.

Lebih istimewa, tren RTS Link bukan sahaja mesra OKU dan kerusi roda malah menggunakan sistem ‘in-house hearing loop’ sebagai kemudahan kepada pengguna yang menggunakan alat bantuan pendengaran menerima isyarat audio pengumuman lebih jelas dan inklusif. 

MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.

Selepas siap nanti, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.

Ditanya mengenai kaedah pembayaran yang akan digunakan untuk perkhidmatan berkenaan, Anthony berkata, Malaysia bercadang menggunakan pelbagai kaedah sistem pembayaran seperti yang diguna pakai dalam perkhidmatan pengangkutan awam lain, ketika ini.

“Kita sedang mendorong ke arah penggunaan pelbagai sistem pembayaran dengan menyediakan lebih banyak pilihan sistem pembayaran.

“Maksudnya, pengguna boleh menggunakan pelbagai cara pembayaran seperti kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go (TNG) selain sistem pembayaran dalam talian dan luar talian.

“Di Singapura juga mereka ada sistem pembayaran mereka sendiri. Semua ini perlu diambil kira, dan sistem pembayaran tidak seharusnya dihadkan,” katanya.

Mengulas waktu operasi RTS Link, Anthony berkata, ia masih belum dimuktamadkan.

“Namun operator RTS Link perlu mempertimbangkan waktu mula perjalanan pekerja Malaysia di Singapura yang bertolak seawal jam 5 pagi.

“Bagaimanapun, tiada tren antara bandar di dunia yang beroperasi 24 jam sehari kerana perkhidmatan ini perlu melakukan kerja penyelenggaraan dan pemeriksaan teknikal secara berkala,” katanya.-BH Online