Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tindakan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang mempertikai pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng yang menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan satu kenyataan jahat dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata pemimpin pembangkang itu juga disifatkan melampau kerana seolah-olah memperlekehkan kepercayaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan itu.

“Saya berasa sangat marah, ada pemimpin PAS yang seolah-olah mengecam pelantikan beliau hanya kerana berbangsa Cina.

“Zaharuddin bukan sekadar mempertikai pelantikan ini, namun beliau juga seperti memperlekeh kepercayaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong yang juga pemerintah tertinggi ATM.

“Kenyataan jahat berbaur perkauman, menghasut dan derhaka sebegini harus dikenakan tindakan undang-undang yang keras sebagai pengajaran kepada orang politik tak kira parti apa, jangan sesekali bermain api perkauman!,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, Zaharuddin memuat naik hantaran mengaitkan pelantikan seorang Perdana Menteri keturunan Cina pada 2058.

Dalam hantaran sama beliau turut meletakkan foto penganugerahan pangkat kepada Johnny.

Mengulas lanjut, Sim berkata, kenyataan itu turut dilihat satu penghinaan kepada anak Malaysia yang berkhidmat dengan ATM dan berkorban jiwa dan raga untuk negara.

“Ketika peluru musuh datang, ia tak tanya tentera kita itu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli. Tapi bila pelantikan diumumkan, ada pula yang pandang bangsa lebih dari pengorbanan buat negara.

“Apakah pengorbanan Leftenan Jeneral ini selama 41 tahun dalam perkhidmatan itu masih belum cukup layak pada beliau?.

“Apakah cinta seorang perajurit buat tanah air ini perlu diukur dengan warna kulit? Tidak pernahkah Zaharuddin kenal dengan nama Laksamana Muda Tan Sri Datuk Seri Dr K Thanabalasingam (Bersara), anak tempatan pertama dilantik sebagai Ketua Turus TLDM dan ramai lagi putera watan bukan Melayu yang memegang jawatan tinggi ATM,” soalnya dalam kenyataan itu. 

Sim dalam kenyataan sama turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Johnny atas pelantikan bersejarah itu dan berharap pengalamannya sepanjang 41 tahun dalam perkhidmatan dapat dimanfaatkan sebaiknya.-BH Online