Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarikat pelaburan bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera perlu terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan.

Perdana Menteri berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera pada pagi tadi bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat bawahnya.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, saya tegaskan keperluan untuk kita terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada pemegang unit amanah.

“Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya bumiputera,” katanya dalam hantaran melalui X, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pula harus kekal komited memperkasakan usahawan bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.

“Saya tegaskan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan bumiputera, mesti terus menjadi pemacu dasar serta pelaksana utama inisiatif kerajaan, khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah dilancarkan,” katanya.-BH Online