Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menjadikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB), berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Mengumumkan demikian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan berkenaan dipersetujui Jemaah Menteri pada 11 Jun lalu, sekali gus kerajaan tidak perlu lagi menyediakan peruntukan tahunan untuk suntikan kewangan kepada badan berkanun itu.

“Ia juga tidak tertakluk kepada sistem saraan kerajaan, dibebaskan saraan dan diasingkan daripada kerajaan. Jadi, CAAM akan menjadi badan yang bebas dari segi kewangan dan juga saraannya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Pelan rasionalisasi itu yang menyaksikan CAAM bergabung dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), adalah sejajar dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh institusi penerbangan negara.

“Keputusan ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memusatkan institusi kerajaan yang hampir sama. Langkah ini juga selari dengan amalan antarabangsa.

“Negara lain kini mengamalkan model kawal selia tunggal dalam sektor penerbangan bagi memastikan penyelarasan yang lebih efektif,” katanya.

Bagi melaksanakan rasionalisasi ini, Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 (Akta 856) dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 (Akta A1723) telah dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Jun 2024, disusuli di Dewan Negara pada 30 Julai tahun sama.

Kedua-dua akta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 11 September 2024 dan telah disiarkan dalam warta pada 25 September 2024.

Loke berkata, dalam melaksanakan rasionalisasi itu, kementerian sentiasa menitikberatkan kesejahteraan serta kepentingan 57 kakitangan MAVCOM yang sedia ada dengan surat tawaran kepada mereka akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kakitangan yang bersetuju menerima tawaran akan ditempatkan di CAAM berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka,” katanya memberi jaminan pelan kelangsungan perniagaan akan dilaksana secara terancang, telus dan berpandukan prinsip tadbir urus baik sepanjang peralihan operasi CAAM.-BH Online