Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SAMARKAND, Uzbekistan: Malaysia kini dalam proses memuktamadkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan yang bakal menjadi panduan utama kepada tadbir urus AI secara beretika, adil dan berorientasikan kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelan itu akan memberi penekanan kepada pembangunan dan penerapan AI dalam sektor utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, tenaga dan pertanian, selain melahirkan bakat AI dalam sektor awam dan dalam kalangan belia.

“Teknologi bukanlah bersifat neutral. Ia perlu mencerminkan nilai masyarakat yang kita junjung. Justeru, pembangunan AI mesti berpaksikan prinsip etika, kesaksamaan dan matlamat awam,” katanya ketika berucap pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2025 di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pembaharuan struktur perkhidmatan awam tidak boleh bergerak sendiri tanpa transformasi sistem, dan dalam konteks ini, pendigitalan menjadi pemangkin utama kepada perubahan menyeluruh.

Beliau berkata, berpandukan Rangka Tindakan MyDigital dan Pelan Strategik Pendigitalan Perkhidmatan Awam, Malaysia berjaya mendigitalkan lebih 500 perkhidmatan kerajaan, selain memudahkan akses rakyat melalui platform digital selamat seperti MyDigital ID dan papan pemuka masa nyata.

Katanya, pendekatan ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam mentransformasikan sektor awam menjadi lebih cekap, inklusif dan responsif kepada keperluan semasa rakyat dan negara.

Pelan Tindakan AI Kebangsaan yang sedang dimuktamadkan dijangka menjadi teras kepada pembangunan teknologi yang mampan dan seimbang, dengan memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan hak asasi, keselamatan maklumat dan integriti pentadbiran.

Forum Perkhidmatan Awam PBB 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Jun diadakan bagi membincangkan peranan sektor awam dalam mendepani cabaran teknologi, perubahan iklim dan ketidaksamarataan global, dengan penyertaan pemimpin dan pakar dasar dari pelbagai negara.

Malaysia turut menyampaikan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pendigitalan perkhidmatan awam dan inovasi AI sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat kemajuan pembangunan mampan. – Bernama