Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kepelbagaian kaum di negara ini harus dijadikan sebagai satu kekuatan untuk mengukuhkan perpaduan negara dan bukannya sebagai medan perseteruan atau untuk menunjukkan kehebatan serta ego masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi kebanyakan negara lain, kepelbagaian tersebut menyebabkan berlakunya permusuhan kaum dan agama sehingga akhirnya membebankan negara dan meninggalkan kesan kepada rakyat.

“Perpaduan dalam kepelbagaian kaum ini semakin diperlukan untuk memastikan Malaysia sentiasa kukuh dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu sekarang.

“Jangan ambil mudah masalah yang mungkin terjadi jika tidak bersatu. Keadaan geopolitik kini sangat mencabar dan membimbangkan.

“Masa depan tiada jaminan namun apa yang boleh kita pastikan ialah Malaysia yang bersatu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar turut menzahirkan rasa bangga untuk menampilkan kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di negara ini khususnya ketika Malaysia memegang kepengerusian ASEAN tahun ini serta sewaktu menerima pemimpin dan tokoh korporat dari luar negara.null

Hal itu katanya ditampilkan semasa mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Conoco Philips Ryan Lance beberapa hari lepas iaitu beliau mengenakan busana tradisional masyarakat Iban yang diterimanya daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini.

“Jadi saya beritahu beliau (Ryan) mengenai Sarawak, mengenai keindahan budayanya, itu yang perlu kita lakukan. Dan saya berbangga sebagai rakyat Malaysia bercakap (mengenai hal ini) kepada sebuah syarikat hebat bernilai berbilion dolar, mungkin satu daripada syarikat minyak terbesar di dunia dan nombor satu di Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan beliau akan membuat pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Jumaat ini bagi membincangkan cadangan supaya Sarawak dijadikan hab untuk Grid Tenaga ASEAN (APG).

Beliau berkata Sarawak dengan kekuatan hidroelektrik, gas dan hidrogen, berpotensi untuk merintis APG, bukan sahaja menghubungkan Sarawak ke Sabah dan Kalimantan Indonesia malah hingga ke Selatan Filipina. — BERNAMA