KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan sebelum tamat tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pada Mei 2025, eksport ke AS mencatatkan peningkatan dua angka untuk bulan kelapan berturut-turut dan sejak 10 tahun lalu, AS adalah antara tiga pasaran eksport terbesar bagi Malaysia.
Katanya, kebanyakan eksport Malaysia ke AS melengkapi industri domestik AS dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peranti perubatan serta jentera, peralatan dan alat ganti.
“Malaysia juga telah menjadi sumber penting barangan perantaraan kepada industri pembuatan AS. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan sentiasa menegakkan kepentingan Malaysia dalam semua hubungan perdagangan dan pelaburan dengan semua rakan dagang, terutamanya dalam menjaga integriti komitmen domestik Malaysia dan hak kedaulatannya.
“Kedua-dua mesyuarat berasingan dengan Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS berjalan lancar.
“Kedua-dua wakil Malaysia dan AS menyatakan hasrat mereka untuk memuktamadkan rundingan sebelum tamatnya tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif dan bersetuju untuk mempergiatkan usaha bagi mencapai persetujuan yang boleh diterima bersama oleh pihak berkepentingan utama dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Zafrul telah mengetuai lawatan kerja ke Washington DC pada 18 hingga 20 Jun lalu.
Lawatan kerja itu tertumpu terutamanya kepada rundingan berkaitan tarif AS yang berterusan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Menteri diiringi oleh Ketua Perunding dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Timbalan Ketua Perwakilan dari Kedutaan Besar Malaysia dan pegawai-pegawai MITI yang berpangkalan di Washington DC.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, delegasi Malaysia yang diketuai olehnya memastikan bahawa mesyuarat dengan Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS juga dioptimumkan sebagai platform untuk meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS.
“Ini juga akan menjadi sebahagian daripada hasil jangkaan rundingan, yang MITI sasarkan akan dimuktamadkan sebelum tamatnya tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif.
“Kami menjangkakan rundingan ini akan membantu menjamin rantaian bekalan Malaysia, serta memberikan kesan limpahan positif kepada perniagaan Malaysia, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Semua ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, sambil memacu agenda transformasi Ekonomi MADANI ke arah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya.-BH Online