Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal seramai 13 orang termasuk lima pelajar rakyat Malaysia masih berada di Iran.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengesahkan selain lima pelajar itu, baki yang masih tinggal adalah enam yang menetap di Iran, selain masing-masing seorang rakyat Malaysia yang bekerja dan seorang pelancong di negara itu.

Beliau berkata, seorang warga Iran yang memegang status Pemastautin Tetap (PR) Malaysia juga membuat keputusan untuk terus kekal berada di negara bergolak itu.

Katanya, setakat semalam tiga rakyat Malaysia yang ingin dibawa keluar menukar fikiran pada saat akhir dan memilih untuk kekal berada di Iran.

“Seramai 24 orang berjaya memasuki pintu sempadan ke Turkmenistan pada jam 9.20 malam waktu tempatan, semalam.

Mereka terdiri 17 orang rakyat kita iaitu sembilan kakitangan HBS (home based staff) dan keluarga iaitu seramai lapan orang.

“Warga Iran pula seramai enam orang iaitu lima daripada mereka adalah tanggungan kepada rakyat Malaysia kita dan seorang warganegara Iran yang mempunyai PR (Penduduk Tetap) Malaysia. Seorang rakyat Singapura juga dibawa keluar dalam misi ini,” katanya kepada BH hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, misi itu membawa mereka keluar dengan bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat bagi menaiki penerbangan T5-647 ke Bangkok jam 4.20 pagi (waktu tempatan) hari ini.

“Mereka dijangka tiba di Bangkok, Thailand pada jam 1.05 tengah hari (waktu Bangkok) hari ini.

“Penerbangan dari Bangkok ke Kuala Lumpur adalah melalui pesawat MH781 pada jam 7.40 malam ini dan dijangka tiba pada jam 10.50 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Tindakan membawa keluar rakyat negara itu susulan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran, termasuk ke atas kemudahan nuklear dan sebuah bangunan kediaman di bandar Qom.

Serangan itu adalah tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel beberapa jam sebelumnya.

Minggu lalu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan, berkata rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan seawal Jumaat ini susulan tindakan agresif rejim Zionis terhadap Iran yang menyebabkan ketegangan ketara di rantau berkenaan.

Semalam, Mohamad juga mengarahkan Kedutaan Malaysia menutup sementara operasinya di Iran.

Beliau sekali gus mengarahkan semua warga Kedutaan Malaysia di negara sedang bergolak itu supaya pulang ke tanah air dengan segera.

Malah, Mohamad mengesahkan banyak kedutaan negara-negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik Iran-Israel.-BH Online