Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Orang ramai kini mempunyai pilihan untuk pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian apabila lapan pusat pemeriksaan baharu mula beroperasi 16 Jun depan.

Langkah itu sekali gus memberi alternatif kepada pengguna selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang sebelum ini menjadi satu-satunya pusat pemeriksaan kenderaan bagi urusan pertukaran hak milik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pusat pemeriksaan baharu itu dikendalikan Carro Technology Sdn Bhd susulan keputusan kerajaan membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor kepada syarikat lain yang berkelayakan.

“Pelancaran ini susulan pengumuman kerajaan pada 16 Julai tahun lalu berhubung pelantikan syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor khusus untuk pemeriksaan tukar hak milik persendirian selain daripada PUSPAKOM.

“Inisiatif ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor kepada syarikat lain,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) Carro Technology Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Menurut Anthony, lapan pusat pemeriksaan itu akan mula beroperasi di Glenmarie, Kajang dan Klang, Selangor; Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Melaka; serta Muar dan Johor Bahru, Johor.

Katanya, operasi pusat pemeriksaan berkenaan tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan lengkap serta integrasi sistem operasi dengan MySIKAP.

“Pemeriksa kenderaan bermotor juga perlu menjalani program pentauliahan ditetapkan JPJ sebelum dibenarkan beroperasi.

“Carro juga perlu menyediakan lorong pemeriksaan khas serta kakitangan berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik selaras dengan standard ISO 17020:2012,” katanya.

Anthony berkata, kerajaan juga menggalakkan lebih banyak syarikat memohon lesen pusat pemeriksaan berkenaan bagi memperluas perkhidmatan itu ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara syarikat yang sedang membangunkan cawangan pusat pemeriksaan ialah Carsome Academy, Car Medic dan Beriman Go di Sarawak.

“Kita mahu lebih banyak kawasan mempunyai pusat pemeriksaan seperti ini supaya orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan dan akses lebih mudah.

“Kita juga mengalu-alukan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak untuk memohon lesen serta membuka pusat pemeriksaan di negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata pembukaan pusat pemeriksaan baharu itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti selain membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.

Katanya, pusat pemeriksaan mini itu hanya melaksanakan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian dan tidak membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan seperti lori, bas dan teksi.

“Pengguna kini tidak lagi perlu bergantung kepada pusat pemeriksaan besar kerana konsep baharu itu membolehkan pusat pemeriksaan dibuka di kawasan komuniti serta pusat perniagaan.

“Pengguna hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian sebelum datang ke pusat pemeriksaan seperti ini dan proses pemeriksaan boleh disiapkan dalam tempoh singkat,” katanya.

Anthony berkata, caj pemeriksaan bagi tukar hak milik kenderaan persendirian ditetapkan pada harga RM37.80 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sama seperti dikenakan PUSPAKOM kerana kadar itu dikawal JPJ.

“MOT dan JPJ juga akan menjalankan audit mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali mematuhi piawaian serta prosedur ditetapkan.

“Kalau mereka tidak ikut piawaian, lesen boleh ditarik balik,” katanya.-BH Online