Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASHKENT: Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Republik Uzbekistan dan Russia bermula esok, dijangka memperluaskan lagi jaringan strategik Malaysia dalam bidang tenaga dan air pada peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, mengetuai delegasi Malaysia ke kedua-dua negara itu selama lapan hari hingga Sabtu depan.

Dalam kenyataannya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata selain mempertingkat kefahaman delegasi Malaysia terhadap teknologi tenaga nuklear moden, lawatan kerja itu juga menjadi inisiatif bagi menarik minat pelabur, selain memperkukuh kerjasama dan aspirasi Malaysia MADANI melalui pembentukan hubungan dua hala yang konstruktif.

Kehadiran Fadillah juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam membentuk kerjasama strategik global bagi mendepani cabaran tenaga dan air pada masa depan.

“Ini juga menzahirkan peranan aktif negara dalam meneroka penyelesaian yang berdaya tahan dan lestari melalui perkongsian pengetahuan, teknologi dan pelaburan asing,” kata kementerian itu.

Antara agenda Fadillah dalam lawatannya ke Uzbekistan bermula esok hingga Selasa ini adalah melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev membabitkan perbincangan dua hala dan usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang tenaga serta pembangunan mampan. 

Mesyuarat Bersama Menteri Tenaga Uzbekistan, Jurabek Mirzamakhmudov pula akan menumpukan perbincangan mengenai kerjasama teknikal dan pelaburan dalam tenaga boleh baharu. 

Bagi lawatan di Russia pada Rabu hingga Sabtu depan, Fadillah dijadual menghadiri mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri, Alexander Novak untuk membincangkan kerjasama strategik dalam bidang tenaga.

Beliau juga dijadual melakukan lawatan teknikal ke loji janakuasa nuklear ROSATOM di St Petersburg bagi meninjau teknologi nuklear terkini serta piawaian keselamatan antarabangsa.– BERNAMA