Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan meminta dan memberi komisyen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan dihentikan segera.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan memberi komisyen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.
“Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan.
“Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan.
“Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar?
“Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi hari ini.
Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik “peruntukan komisen” berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun.