Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan kesihatan swasta tidak terkecuali daripada pelaksanaan model pembayaran sistem kumpulan berkaitan diagnosis  (DRG) yang dirancang kerajaan, malah menjadi fokus utama inisiatif berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan sistem DRG bukan hanya untuk sektor awam, sebaliknya turut merangkumi penyedia swasta secara menyeluruh, sekali gus menafikan laporan media yang mendakwa sebaliknya.

“Tidak benar sama sekali. Sistem pembayaran DRG memang ditujukan untuk penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta, malah tumpuan utama adalah kepada sektor swasta.

“Walaupun kita mahu sistem awam turut menggunakannya, fokus utama tetap kepada sektor swasta,” katanya kepada media selepas menyertai sesi panel di Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Sesi bertajuk Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation itu turut disertai Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; dan Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Aakash Mohpal.

Dzulkefly berkata, pelaksanaan sistem DRG akan mewujudkan kerangka imbuhan yang lebih standard, adil dan telus dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara.

“Ia memastikan tiada caj berlebihan kerana pembayaran dibuat berdasarkan kumpulan yang ditakrifkan dengan jelas seperti diagnosis, prosedur dan komplikasi,” katanya lagi.

Beliau berkata, dengan adanya struktur pembayaran yang jelas dan terikat kepada klasifikasi perubatan yang seragam, pesakit akan dilindungi daripada caj rawatan melampau, manakala penyedia perkhidmatan pula digalakkan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan rawatan.

Inisiatif itu, katanya, seiring dengan matlamat jangka panjang kerajaan untuk menstruktur semula landskap kesihatan nasional dan mengurangkan jurang perbezaan antara sektor awam dan swasta.

Pelaksanaan DRG telah lama diguna pakai di pelbagai negara maju sebagai satu kaedah pembiayaan yang mampan, dan Malaysia kini bersedia mengadaptasi model serupa mengikut keperluan tempatan.

Dengan beban kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat terutamanya dalam sektor swasta, Dzulkefly menegaskan, perlunya reformasi menyeluruh agar akses kepada rawatan berkualiti tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.

“Langkah ini bukan sahaja untuk menjamin kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan, malah menyokong kemampanan kewangan sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan,” katanya.

DRG dilihat mampu membawa perubahan struktur yang memberi manfaat bukan hanya kepada pesakit, malah kepada pembayar, penyedia perkhidmatan dan pembuat dasar kesihatan.

Pelaksanaan itu dijangka disusuli dengan proses libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan keberkesanan dan penerimaan menyeluruh.

Langkah itu turut selari dengan usaha BNM dan agensi berkaitan dalam menangani isu struktur kos kesihatan dan impaknya terhadap daya tahan kewangan isi rumah.

Abdul Rasheed Ghaffour turut menyuarakan sokongan terhadap reformasi sistem kesihatan dengan penekanan kepada keperluan intervensi dasar yang tepat pada masanya bagi menangani tekanan inflasi perubatan.

“Reformasi dalam sistem pembiayaan dan struktur penjagaan kesihatan adalah penting untuk menjamin kemampanan jangka panjang serta perlindungan sosial kepada rakyat,” katanya.

Dengan DRG sebagai antara teras pembaharuan, kerajaan dilihat sedang menelusuri laluan penting ke arah transformasi menyeluruh sektor kesihatan Malaysia.-BH Online