Kenyataan beberapa pihak yang mendakwa “Sekolah agama di negeri Selangor diarah tutup” adalah kenyataan yang tidak berasas serta satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab, kata Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.
Menurut beliau, ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada tahun 2017, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangun dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.
“Inisiatif ini diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.
“Pada masa sama, penguatkuasaan Garis Panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian,” kata beliau.
Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Kerajaan Negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang telah dikeluarkan.
Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama 2 tahun.
“Dalam tempoh ini, pihak JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang pihak sekolah mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan
“Justeru, dakwaan oleh pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak adalah digesa supaya merujuk isu ini kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas.