Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Tahap literasi kesihatan yang agak rendah antara punca segelintir rakyat negara ini tidak melakukan saringan kesihatan secara berkala. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan kebanyakan rakyat hanya mendapatkan rawatan apabila sudah disahkan menghidap sakit tertentu. 

“Ini sebabnya kami di Kementerian Kesihatan (KKM) tekankan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) mengenai kepentingan rakyat membuat saringan bagi mengesan penyakit tidak berjangkit (PTB) lebih awal,” katanya selepas merasmikan Karnival Minda Sihat, Komuniti Sejahtera Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Dr Zuraida Mohamed.

Dr Dzulkefly berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan (NHMS) terkini, satu daripada tiga orang rakyat dewasa negara ini menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan mempunyai tahap kolesterol tinggi. 

“Selain itu, satu daripada enam orang kena kencing manis dan 50 peratus daripada kita mengalami obesiti. 

Dr Dzulkefly berkata, KKM turut memberikan penekanan kepada pelaksanaan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dalam usaha untuk memperkasakan rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam penjagaan kesihatan. 

“Mereka tak tahu ada kencing manis, darah tinggi, masalah kolesterol dan sebagainya, umur 30, 40 tahun,” katanya.-BH Online