LUMUT, 15 Jun – Jabatan Penerangan (JaPen) diminta memastikan maklumat berkaitan dasar penting oleh kerajaan disampaikan dalam tempoh 24 jam selepas ia diumumkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi memastikan maklumat disampaikan dengan pantas dan tepat kepada semua 1,878 Komuniti Madani seluruh negara.
Beliau turut menggesa Pejabat Penerangan Daerah (PPD) agar berusaha lebih gigih bagi memastikan Komuniti Madani tidak tercicir dari mendapat maklumat yang sahih.
Datuk Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata terdapat banyak ruang untuk JaPen menambah baik penyampaian maklumat kepada rakyat dan perkara itu telah bincangkan dengan pihak pengurusan agensi berkenaan mengenai mekanisme terbaik yang akan dilaksanakan seawal minggu depan.
“Jadi tugas yang saya berikan kepada Jabatan Penerangan adalah untuk pastikan kumpulan Komuniti MADANI ini menjadi kumpulan pertama mendapat maklumat tepat tentang satu-satu dasar yang telah diumumkan.
Memang kerjanya berat, tetapi inilah fungsi dan tugas kita (JaPen) ke depan,” katanya ketika ditemui pada Program Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Utara B anjuran JaPen di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET), di sini hari ini.
Hampir 150 orang ahli Komuniti MADANI dari Perak dan Pulau Pinang hadir dalam program tersebut yang bertujuan memberi penekanan kepada pengaktifan media sosial dalam menyebarkan maklumat kerajaan yang sahih disamping berperanan sebagai alat strategik menangkis naratif palsu dan tidak benar.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah JAPEN, Juliana Johan. -Berita RTM