Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) melancarkan inisiatif strategik bagi memperkasakan usahawan Bumiputera dalam industri penyelenggaraan dan baik pulih motosikal melalui jenama MotoExpert.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata menerusi peruntukan RM10 juta disediakan agensi itu, program berkenaan mencerminkan komitmen teguh MARA untuk meningkatkan penyertaan dan penguasaan golongan Bumiputera dalam industri motosikal tempatan.

Katanya, PUMP MotoExpert adalah program khas keusahawanan MARA yang memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti dan daya saing bengkel motosikal milik usahawan.

“MARA menawarkan latihan teknikal berstruktur, penjenamaan semula premis serta kemudahan pembiayaan perniagaan sehingga RM300,000.

“Selain itu, peserta turut menerima sokongan dari segi rantaian bekalan alat ganti, penambahbaikan imej premis serta pembangunan sistem operasi bengkel yang lebih efisien dan kompetitif.

“Keberhasilan program dijangka dapat meningkatkan hasil jualan usahawan sehingga 30 peratus dengan sasaran transformasi sekurang-kurangnya 20 bengkel motosikal Bumiputera menjelang tahun depan,” katanya pada Majlis Perasmian PUMP MotoExpert, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS PLMM, Mohd Zameer Zahur Hussain. 

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, inisiatif berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada lepasan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang penyelenggaraan dan baik pulih motosikal.

Ia juga, katanya, dapat meningkatkan potensi untuk mereka memiliki bengkel sendiri.

Sebagai nilai tambah, PLMM akan membekalkan produk minyak pelincir jenama PETRONAS Sprinta secara terus kepada bengkel MotoExpert tanpa melalui perantara, sekali gus memberikan margin keuntungan lebih tinggi kepada usahawan. 

PLMM juga akan membantu usahawan dalam aspek pemasaran, latihan teknikal dan kolaborasi bersama pemain industri luar.

Program terbuka kepada lepasan institusi TVET MARA atau institusi lain yang mengendalikan perniagaan bengkel motosikal sekurang-kurangnya selama enam bulan, dengan jualan tahunan melebihi RM360,000. 

Sesi pemilihan peserta akan dilaksanakan melalui seminar dan sesi temu duga pada pertengahan tahun ini.

PUMP MotoExpert MARA-PETRONAS bukan sahaja dijangka mempertingkatkan tahap profesionalisme dan imej bengkel Bumiputera, malah menyumbang secara langsung ke arah memperkukuh ekosistem industri motosikal dalam negara.-BH Online