KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM89.8 bilion pada suku pertama 2025, meningkat 3.7 peratus dari tahun ke tahun meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar dan kurang menggalakkan.
Pelaburan itu merentasi 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama serta bersedia untuk menjana lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan.
Menurut MIDA, pertumbuhan pelaburan yang stabil itu menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap dasar yang jelas dan asas jangka panjang negara, yang menongkah aliran modal antarabangsa yang berhati-hati akibat ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, serta persaingan global yang meningkat terhadap pelaburan baharu.
Pelaburan asing menguasai landskap pelaburan dengan menyumbang sebanyak RM60.4 bilion atau 67.3 peratus daripada jumlah pelaburan, sementara pelaburan domestik menyumbang RM29.4 bilion atau 32.7 peratus.
Singapura muncul sebagai pelabur asing terkemuka dengan RM28.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM9.9 bilion, China (RM7.9 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Taiwan (RM1.7 bilion).
Dari segi negeri, Johor mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi sebanyak RM30.1 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM15 bilion), Sabah (RM10.9 bilion), Selangor (RM10.2 bilion) dan Pulau Pinang (RM9.2 bilion).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pihaknya positif dengan pertumbuhan 3.7 peratus dari tahun ke tahun yang dicatatkan pelaburan diluluskan pada suku pertama 2025.
Beliau berkata, walaupun pelaburan itu dijangka mewujudkan 33,300 pekerjaan baharu, perkara yang sama penting ialah peningkatan dalam indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) daripada 44.2 peratus pada suku pertama 2024 kepada 46.3 peratus pada suku pertama 2025.
Katanya, ia mencerminkan kejayaan berterusan negara dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran lebih tinggi serta berpendapatan lebih baik untuk rakyat.
“Persekitaran pelaburan pada 2025 dijangka kekal mencabar berikutan halangan geopolitik dan makroekonomi yang berterusan yang berpunca daripada perang perdagangan AS-China.
“Namun begitu, meskipun dasar perlindungan pasaran utama dan geseran rantaian bekalan terus menjejaskan keputusan pelaburan syarikat, dasar jelas Malaysia sepatutnya dapat menarik lebih banyak pelaburan daripada ekonomi Asia yang semakin meningkat, dijangka berkembang kepada kira-kira 42 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global,” katanya.
Pada suku pertama 2025, sektor perkhidmatan telah muncul sebagai kuasa pertumbuhan ekonomi, memperoleh RM57.8 bilion dalam pelaburan diluluskan, meningkat 39.5 peratus dari tahun ke tahun, yang merentasi 1,342 projek dan akan mewujudkan 15,051 pekerjaan baharu.
Sementara itu sektor pembuatan pula memperoleh RM30.5 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2025, dengan 207 projek diluluskan dan dijangka mewujudkan 18,317 peluang pekerjaan baharu.
Setakat 10 Jun 2025, MIDA sedang giat menguruskan projek dalam cadangan yang bernilai RM48.5 bilion.-BH Online