PUTRAJAYA: Sepuluh persatuan jualan makanan dan minuman diminta mendapatkan maklum balas daripada ahli serta mengemukakan memorandum cadangan berhubung pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata memorandum cadangan itu perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal Semakan Pindaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, sesi libat urus bersama sepuluh persatuan terbabit telah diadakan hari ini bagi meneliti cadangan pindaan terhadap sekatan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam perdagangan dan perniagaan termasuk mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil.
“Pelbagai syor dan pandangan telah dikemukakan. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah parameter pindaan berkaitan pendefinisian peringkat perniagaan jualan makanan dan minuman terlibat.
“Selain itu, perlu diteliti pertimbangan status pemilikan perniagaan, jumlah keperluan, mekanisme kawalan dan pelaporan, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan serta strategi mengekang ketirisan secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun telah bersetuju dengan syor KPDN untuk meminda peruntukan PPKB yang diwartakan pada 2021, namun perlu ditetapkan perincian terhadap beberapa perkara agar adanya kejelasan undang-undang.
Turut hadir pada sesi libat urus Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian merangkap Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.– BERNAMA