Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO akan menangani sebarang cabaran dalam Kerajaan Perpaduan dengan penuh hikmah supaya perjuangan parti diterima akar umbi.

Itu antara syor Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan, pada mesyuarat UMNO di 191 Bahagian yang akan berlangsung esok hingga 27 Julai ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata sebarang penjelasan mengenai isu semasa yang sensitif perlu sentiasa dibuat parti dan kerajaan termasuk melalui platform di mesyuarat bahagian.

“UMNO akan terus bersama Kerajaan MADANI. Cabaran berada dalam kerajaan Perpaduan perlu ditangani dengan penuh hikmah supaya perjuangan UMNO dapat diterima ahli akar umbi. Pastinya, UMNO akan terus bangkit.

“Kemenangan di empat Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning adalah contoh kebangkitan UMNO yang wajar jadi pembakar semangat walau di negeri manapun kita berada,” katanya kepada BH, di sini.

Mesyuarat Bahagian UMNO berlangsung selepas persidangan perwakilan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara berakhir 25 Mei lalu.

Mesyuarat MKT UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos ini.

Pada masa sama, Ahmad berkata, selain itu, penting untuk mesyuarat pada peringkat bahagian menekankan supaya jentera UMNO perlu berada di tahap maksimum bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Beliau berkata, negeri angkat wajar segera membantu Barisan Nasional (BN) Sabah dengan pimpinan utama di semua peringkat wajar turun padang dengan gigih.

“UMNO mesti terus kekal mantap di 191 bahagian di seluruh negara dengan kaedah ABCDE, iaitu A bermaksud aktiviti berterusan secara kecil dan sederhana serta tidak bermusim hanya ketika hampir pilihan raya.

“Syor lain bagi B iaitu UMNO perlu berpadu antara jentera di lima peringkat iaitu bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran,” katanya.

Ahmad berkata, kaedah C pula ialah cawangan perlu bertambah ahli akar umbi kerana UMNO memiliki lebih 21,000 cawangan.

Katanya, kaedah D iaitu data pengundi perlu kerap dikemaskini terutama mengenai orang muda melalui sistem data yang ada, selain E iaitu emosi rakyat yang terkawal berhubung isu semasa berkaitan tempatan serta isu nasional.-BH Online