Selepas gagal mencapai cita-cita untuk memenangi enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, usaha untuk menggulingkan Presiden Umno sedang dirancang oleh musuh Kerajaan Perpaduan.
Ia bertujuan untuk mengambilalih kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) dari kepimpinan yang ada sekarang dan seterusnya memaksa Umno bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan.
“Namun kerana keterdesakan mereka untuk tidak menjadi kluster mahkamah dan seterusnya merengkok dalam penjara Sungai Buluh atau Kajang, usaha untuk menumbangkan Presiden Umno sekali lagi dimainkan.
“Orang-orang ini sudah tidak ada dalam Umno,” kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengulas kegagalan PN untuk merampas enam negeri tetapi hanya berjaya mengekalkan status qou sahaja.
Antara yang terlibat dalam gerakan ini, dakwa Lokman adalah Tan Sri Annuar Musa yang kini menyertai Pas.
“Annuar Musa hari ini (semalam) memviralkan satu kumpulan yang dinamakan gerakan untuk menumbangkan Presiden Umno malah mereka menaja pihak tertentu mengadakan town hall, menaja perhimpunan mendesak presiden Umno berundur diri sebagai presiden parti.
“Matlamatnya hanya satu bagi menyelamatkan tengkok mereka dari menjadi kluster mahkamah dan menginap di penjara Sungai Buluh atau Kajang,” kata Lokman dalam sessi live di media sosial malam tadi.
Annuar Musa kini berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan isu penjualan hak menguruskan Menara Kuala Lumpur.
Selain kempen hendak menjatuhkan Presiden Umno, kempen perkauman juga dimainkan oleh sesetengah pihak di negara ini.
Antaranya kempen kononnya Selangor kini dikuasai oleh pemimpin bukan Islam dari DAP.