Pas perkhidmatan awam terbaru ‘myBAS Konsesi’ telah diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Pas ini menawarkan tambang percuma untuk perkhidmatan bas berhenti-henti kepada golongan orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak dari umur tujuh hingga 17 tahun.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif ini diperkenalkan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan dilaksanakan di SBST Seremban, Ipoh dan Johor Bahru.
Lebih 2,500 pengguna dalam kumpulan menerima manfaat subsidi kos perjalanan yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Selaras dengan konsep Ekonomi Madani, inisiatif SBST membantu menambah baik rangkaian pengangkutan awam dalam bandar, jaringan pertama dan terakhir di ketiga-tiga bandar raya terbabit selain mengurangkan kos sara hidup golongan sasar.
“Pelaksanaan tambang percuma kepada golongan sasar akan diperluaskan ke program SBST di negeri lain secara berperingkat,” katanya ketika melancarkan inisiatif tambang percuma ‘myBAS Konsesi’ dan tinjauan ke Terminal One Seremban.
Pendaftaran untuk mereka yang layak boleh dibuat di kaunter perkhidmatan myBAS dengan menggunakan dokumen pengenalan.
Perkhidmatan bas tersebut akan meliputi 58 laluan iaitu Seremban (23), Johor Bahru (19) dan Ipoh(16).
Menurut Loke, kementerian juga akan membuka semula tender bagi pengendali myBas Konsensi berikutan kontraknya tamat pada hujung tahun ini selepas beroperasi selama tujuh tahun.
Beliau turut menjelaskan perkhidmatan bas tidak mencukupi untuk perjalanan Seremban – KL kerana pengusaha bas tidak beroperasi.
“Terdapat tujuh lesen pengendali antara perkhidmatan Seremban ke Kuala Lumpur, tetapi ada dua operator dan kadangkala hanya satu operator menjalankan perkhidmatan. Ini isu paling besar dihadapi rakyat Seremban yang berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan berbincang dengan operator bas bagi menangani isu tersebut selain bersedia menambah permit kepada operator.