ISKANDAR PUTERI: Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JS-SEZ) bersetuju menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan, selaras dengan hasrat kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelabur menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal yang seiring dan sesuai dengan kadar gaji ditawarkan.
Katanya, isu tangga gaji dan peluang pekerjaan menjadi antara soalan utama ketika sesi libat urus antara Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan semua pelabur di negeri ini.
“Pada peringkat Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menetapkan syarat dan mengekalkan komposisi tenaga kerja dalam sektor pembuatan iaitu 80 peratus pekerja tempatan serta 20 peratus pekerja asing.
“Pada peringkat negeri pula, melalui IMSC-J dan JTDC antara perkara utama yang dibincangkan adalah kita menggalakkan keperluan menetapkan gaji minimum untuk pemegang diploma sekitar RM3,500 ke atas, manakala pemegang ijazah pula mesti memperolehi gaji RM4,000 ke atas.
“Saya ingin maklumkan majoriti pelabur yang melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini.
“Kerajaan negeri melalui kerjasama strategik antara Johor Skills dan universiti tempatan berusaha memastikan apa diperlukan dan sama dengan apa yang dapat kita ditawarkan,” katanya menjawab soalan pada mesyuarat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke 15 di sini, hari ini.
Onn Hafiz (BN- Machap) menjawab soalan lisan ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (BN) yang bertanya apakah Johor menetapkan syarat kepada pelabur luar berhubung pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji setara atau hampir setara dengan Singapura, bagi manfaat kepada rakyat.
Onn Hafiz berkata, sebagai contoh, pihaknya semalam bertemu wakil syarikat China yang melabur RM500 juta di Johor pada fasa pertama dan pelaburan ini dijangka mencecah RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.
“Mereka (syarikat pelabur dari China) menyatakan komitmen mendapatkan tenaga kerja mahir tempatan dan kita akan salurkan.
“Mereka juga bersetuju menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), malah kilang yang bakal dibangunkan juga akan dipenuhi anak muda Johor berkelayakan.
“Ini antara usaha berterusan kerajaan negeri memastikan pembangunan ekonomi Johor turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Muszaide Makmor (BN-Sedili), Onn Hafiz berkata, JS-SEZ bukan penyebab berlaku peningkatan kos sara hidup di Johor, sebaliknya ia senario global dan nasional.
Namun, katanya, kerajaan negeri komited memastikan kesan negatif kenaikan kos sara hidup itu dapat dikurangkan melalui pelbagai inisiatif dilaksana demi rakyat.
“Inflasi dan peningkatan kos sara hidup akan tetap berlaku sama ada JS-SEZ dilaksanakan atau tidak. Jadi, kita usaha lakukan Program Bakul Rakyat, Jualan Kasih, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan mengawal barangan subsidi seperti minyak masak paket demi manfaat rakyat,” katanya.-BH Online