KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan Sarawak bagi memperkasa bidang pendidikan dan keusahawanan, khususnya dalam sektor tenaga konvensional dan tenaga baharu.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kedua-dua pihak bersetuju secara dasar untuk menjadikan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu sebagai hab pendidikan serantau dalam bidang tenaga.
Beliau yang membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kucing, hari ini, berkata bidang tenaga itu merangkumi minyak dan gas serta teknologi tenaga hijau.
“Kita melihat potensi besar dalam mempertingkat kerjasama ini memandangkan MARA mempunyai mandat dan kemudahan pendidikan yang boleh diselaraskan dengan aspirasi kerajaan Sarawak, terutama dalam menjadikan negeri itu hab tenaga baharu termasuk hidrogen.
“Bidang tenaga itu merangkumi minyak dan gas serta teknologi tenaga hijau dengan fasiliti bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perincian mengenai pelan induk IKM Bintulu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan, manakala pelancaran rasmi dijangka sebelum akhir tahun ini.
“Inisiatif ini akan memastikan anak-anak Sarawak mendapat manfaat langsung daripada program pendidikan dan latihan kemahiran MARA seperti IKM dan GiatMARA.
“Kita mahu mereka menjadi tenaga kerja mahir dengan jaminan pekerjaan dan gaji yang bermaruah. Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung, kita mahu Sarawak dikenali sebagai pemain global dalam pendidikan berkaitan tenaga,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, dalam sesi libat urus bersama pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi MARA di Bintulu, terdapat beberapa permintaan untuk menaik taraf fasiliti dengan peruntukan dianggarkan lebih RM3 juta.
“Semua permintaan pelajar MRSM dan IKM Bintulu dalam sesi soal jawab kelmarin diluluskan Majlis MARA yang buat pertama kali bermesyuarat di MRSM Bintulu Sarawak,” katanya.
Beliau juga memuji semangat dan motivasi pelajar-pelajar di Sarawak yang disifatkannya sangat luar biasa.
“Kita mahu mereka terus maju dan MARA komited untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka,” katanya.-BH Online