Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan melengahkan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE) adalah tidak berasas, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini berkata SOP Perlombongan REE di Malaysia telah disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

SOP ini merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.

“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. Ia telah disusun untuk membolehkan kerajaan negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing.

“Sehubungan dengan itu, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan seolah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan, dalam mengeluarkan SOP bagi perlombongan REE, dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional (SG4).

Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.

“Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Berkaitan kenyataan kononnya SOP bagi eksplorasi REE masih belum disediakan, beliau menegaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

“Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud,” katanya.

Beliau berkata tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri adalah satu tohmahan yang tidak tepat.

Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira mana-mana negeri.

“Amat penting untuk semua pihak, termasuk pemimpin negeri berpegang kepada fakta dan tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik.

“Rakyat lebih memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar,” katanya. – BERNAMA